Najib, pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata Samy Vellu ada berjumpa beliau sebelum pemilihan MIC Jun lepas di Kuching untuk membincangkan mengenai perancangan peralihan kuasa pucuk pimpinan.
Perjumpaan itu untuk memaklumkan kepada Najib bahwa beliau masih tidak boleh berundur dan jika beliau berbuat demikian, kestabilan parti akan tergugat.
Yang sebenarnya untuk seseorang pemimpin yang telah memegang kuasa selama 28 tahun bukanlah satu perkara yang mudah untuk melepaskan jawatan. Ianya tidak sama seperti perletakan jawatan mana-mana pegawai kerajaan, pekerja swasta atau mana-mana pekerja kilang.
Tampuk kuasa yang dipegang selama 28 tahun melalui cekaman kuku politik yang kuat samalah seperti pokok besar yang telah berakar umbi di mana akar dan tunjangnya telah menjalar di merata tempat sehingga menimbulkan masaalah kepada pokok-pokok lain.
Sepanjang berkuasa selama 28 tahun dan telah memegang jawatan penting sebagai Menteri Kerja Raya juga salah seorang menteri kanan sudah pastinya beliau telah melalui berbagai liku-liku di dalam pengubalan dasar di kementerian.
Mungkin harus diingat semasa beliau menjadi Menteri Kerja Raya lah banyak projek-projek mega dan supermega yang diuruskan di bawah kementerian beliau. Ekonomi negara pada masa itu begitu makmur dan projek-projek lebuhraya bersusun atur untuk ditender, dirunding atau ”direct award”.
Di dalam menguruskan projek-projek besaiz besar sebegini sudah pastinya ada lubang-lubang yang dibuat, sama seperti bermain dengan lobang-lobang congkak. Ada lubang yang telah dikambus, ada lubang yang belum dikambus dan ada lubang yang hangus malah ada lubang misteri yang tak tahu apa nak dibuat dan apa akan berlaku.
Lubang-lubang misteri inilah yang perlu berhati-hati, takut-takut tersilap diserah kepada pewaris harta yang tidak ”friendly” akibatnya kelak akan memakan diri sendiri.
Jika ini berlaku beliau tidak akan dapat mempertahan diri lagi kerana ketika itu beliau sudah tidak berkuasa. Kes-kes Fujimori, bekas Presiden Peru dan Ferdinand Marcos, bekas Presiden Filippina harus dijadikan pengajaran.
Inilah yang paling ditakuti dan sedang dihantui oleh Samu Vellu. Perletakan jawatan beliau bukan sahaja setakat peralihan kuasa tetapi yang lebih penting ialah peralihan harta. Malah akibat yang paling ngeri ialah jatuh status kasta dari kasta yang tinggi sehingga ke tahap menjual botol dan besi.